Fundraising Event
Image

CAKNE AQEELAH TRAIL 2019

  • 30/11/2019
  • Malaysia
MYR 50
0% Complete
Target : MYR 20,000

About Event

1.0 PENGENALAN

Di Malaysia setiap tahun beratus orang kanak kanak, ada yang seawal lahir dari rahim ibu, telah disahkan mengidap kanser. Tubuh tubuh yang kecil dan rapuh itu akan menjalani pelbagai rawatan kanser yang tidak jauh berbeza dari yang dilalui oleh tubuh orang dewasa. Antara rawatan yang terpaksa dilalui adalah pembedahan, kemoterapi, radioterapi, pemindahan sum sum tulang dan sebagainya. Secara umumnya rawatan intensif akan mengambil masa antara dua ke tiga tahun. Setelah tamat rawatan, sebahagian dari mereka masih memerlukan beberapa rawatan susulan seperti fisioterapi, terapi carakerja, terapi pertuturan dan sebagainya.

CAKNE sebagai sebuah pertubuhan kebajikan yang fokus memberi sokongan kepada pesakit dan keluarga mereka, sentiasa berusaha menjalankan pelbagai aktiviti bagi menyantuni dan membantu mereka yang memerlukan. Selain itu, CAKNE juga berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu kanser kanak kanak di Malaysia.

Ditakdirkan, salah seorang pesakit yang kami santuni ie. adik Nurul Aqeelah bt Yaarop (21 tahun) telah kembali ke rahmatullah pada bulan 6 Disember 2016 setelah berjuang habis habisan sejak mula disahkan mengidap Leukemia semasa berumur 5 tahun. Dalam tempoh hampir 17 tahun tempoh perjuangannya menentang kanser tersebut, Allahyarhamah Aqeelah masih mampu mendaki Gunung Datuk sebanyak 14 kali!

Justeru pada 2 Disember 2017 , sempena ulangtahun pertama pemergian Allahyarhamah Aqeelah, bagi mengabadikan perjuangannya dan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kanser kanak kanak, CAKNE telah menganjurkan satu acara pendakian amal yang dikenali sebagai CAKNE AQEELAH TRAIL 2017 (Gunung Datuk). Acara yang sama kemudiannya telah berjaya dianjurkan untuk kali kedua pada 1 Disember 2018.

Kini tiba masanya untuk anda pula terlibat dalam edisi yang ketiga iaitu CAKNE Aqeelah Trail 2019 (CAT19)


2.0 LATAR BELAKANG PENGANJUR

CAKNE adalah nama singkatan kepada Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Ia merupakan sebuah kumpulan sokongan (Support Group) untuk pesakit kanser kanak-kanak yang mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) serta ahli keluarga mereka. Ia ditubuhkan pada penghujung tahun 2008 oleh beberapa orang ibubapa yang anak mereka menghidap kanser.
CAKNE seterusya telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 2hb Ogos 2013 dengan No Pendaftaran PPM-020-10-02082013.

PERKHIDMATAN CAKNE
1. Sumbangan Starter Kit (sebuah ‘cabin bag’ yang mengandungi pelbagai keperluan asas untuk memulakan kehidupan di wad) untuk semua pesakit yg memulakan rawatan di wad 4D,
2. Menaja sebahagian/ keseluruhan kos peranti perubatan seperti PICC, Chemopod etc,
3. Sumbangan Sara Hidup Bulanan,
4. Sumbangan tambang/ kos pengangkutan untuk rawatan intensif,
5. Sumbangan 'ad hoc',
6. Sumbangan hari perayaan seperti Hari Raya, Deepavali, Tahun Baru Cina etc
7. Sumbangan Belanja Pengkebumian
8. Khidmat nasihat & perkongsian melalui kumpulan WhatsApp khas untuk caregivers,

Selain itu, CAKNE juga menganjurkan pelbagai acara dan aktiviti secara berkala seperti;
1. Majlis Solat Hajat & Tahlil,
2. Taklimat berkaitan isu isu rawatan dan penjagaan pesakit kanser kanak kanak,
3. Ziarah wad & rumah,
4. Majlis berbuka puasa,
5. Program Iktikaf,
6. Jamuan Hari Raya,
Maklumat lanjut boleh dicapai di www.cakne.org.my dan www.facebook.com/cakne.ppukm


3.0 ALLAHYARHAMAH AQEELAH 

Allahyarhamah Nurul Aqeelah binti Ya’arop berasal dari Kg. Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka. Anak bongsu dari 5 adik beradik ini disahkan mengidap Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) ketika berusia 5 tahun pada tahun 2000.
Dilahirkan di Segamat, Johor pada 2hb Julai 1995, Allahyarhamah menjalani rawatan di HUKM (kini dikenali sebagai Hospital Canselor Tuanku Muhriz). Dari tahun 2004 hingga 2014, beliau bersekolah di SK Rantau Panjang dan SM Sultan Alaudin, Masjid Tanah, Melaka.

Namun ditakdirkan penyakitnya datang semula (relapsed) sebanyak dua kali pada tahun 2009 dan 2014. Beliau akhirnya kembali ke rahmatullah pada 6 Disember 2016 ketika berusia 21 tahun.
Dalam tempoh kehidupannya yang singkat dan sentiasa tercabar oleh penyakit yang dihidapi, Allahyarhamah merupakan seorang yang sentiasa positif dan sentiasa berusaha menjalani aktiviti harian seperti remaja lain yang sihat. Hobinya adalah membaca, memasak, melancung, beriadhah seperti mendaki gunung dan snorkelling.

Allahyarhamah juga adalah seorang remaja yang pembersih dan sangat kemas dalam berpakaian. Antara kata kata yang sering diucapkan olehnya “Alhamdulillah, aku bersyukur masih hidup walaupun diuji dengan sakit ini”
Diantara pencapaian beliau yang sangat bermakna ialah keupayaannya untuk mendaki Gunung Datuk sebanyak 14 kali sepanjang tempoh hampir 17 tahun menjalani rawatan dan penderitaan sakit.

Kekentalan semangat dan sikap positif yang ditunjukkan oleh Allahyarhamah diharap akan dapat menjadi teladan bukan sahaja kepada pesakit kanser kanak kanak yang lain tetapi juga kepada semua anggota masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama.

Fundraiser Leaderboard